AGENSISELANGOR

PKPS bangunkan baja kompos, guna teknologi Taiwan

SHAH ALAM, 18 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membangunkan baja kompos menggunakan teknologi dari Taiwan bagi membantu meningkatkan hasil pertanian usahawan tempatan.

Pengurus Besar Kumpulan Tamby Omar Mohammed berkata penggunaan mikrob dalam baja kompos itu membolehkan tanah subur dengan cepat.

“Baja kompos kita istimewa kerana mempunyai mikrob. Menerusi sistem ini baja berkenaan akan siap diproses dalam tempoh enam hingga tujuh hari menggunakan tinja kita (PKPS) sendiri. Apabila ada mikrob, tanah akan subur dengan cepat,” katanya ketika dihubungi.

Tamby Omar berkata PKPS juga sedia membantu Jawatankuasa Pertanian Selangor dan Jabatan Pertanian Negeri untuk mengedarkannya secara percuma kepada petani bagi meneruskan kelangsungan jaminan bekalan makanan.

Inisiatif jaminan bekalan makanan Selangor antara perkara ditekankan dalam pelan pemulihan ekonomi ketiga yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu.

Bagi menjayakan program Keselamatan Bekalan Makanan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM50 juta di samping memperkasakan peranan PKPS.


Pengarang :