PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024. Foto: BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

PKS digesa pertingkat guna digital, ubah cara niaga

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meneruskan usaha transformasi digital mereka pasca Perintah Kawalan Pergerakan, kata Pengarah Urusan Genaxis Group Nuraslina Zainal Abidin.

Beliau berkata dengan penyambungan semula aktiviti perniagaan seperti keadaan biasa, PKS mungkin kurang berminat untuk melaksanakan transformasi digital mereka.

Nuraslina, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif IA Consulting Sdn Bhd berkata PKS perlu melihat pendigitalan sebagai langkah kritikal untuk memantapkan perniagaan dan ketahanan operasi serta meningkatkan produktiviti mereka semasa tempoh sukar dan tidak pernah berlaku seperti ini.

“Ada kemungkinan PKS tidak memahami sepenuhnya kepentingan transformasi digital, dan langkah kecil pertama yang mereka perlu ambil untuk melaksanakan transformasi digital.

“Untuk melaksanakan pendigitalan perniagaan mereka, PKS perlu terlebih dahulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan pendigitalan, sama ada membantu mengurangkan kos operasi, mendapatkan pelanggan sasaran baharu, melancarkan produk atau perkhidmatan baharu atau mengoptimumkan sumber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Genaxis dan iAC adalah anak syarikat Dagang NeXchange Bhd.

Nuraslina berkata syarikat-syarikat perlu menumpukan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan mereka di platform digital bagi mengambil kesempatan daripada norma baharu dengan pelanggan beralih kepada platform mudah alih atau internet untuk membuat pembelian.

PKS sudah pastinya mendapat manfaat meraih lebih ramai pelanggan dan mengurangkan kos operasi dengan beralih kepada platform digital untuk menawarkan produk atau menyediakan perkhidmatan, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :