AGENDANASIONAL

Pohon lesen terbit filem di media sosial sekat kebebasan bersuara

SHAH ALAM, 23 JULAI: Tindakan mewajibkan lesen dan perakuan penggambaran dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi penerbitan filem di media sosial atau saluran tradisi adalah langkah ke belakang, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia disifatkan ketetapan tidak munasabah dan masuk akal kerajaan yang cuba menyekat kebebasan bersuara diamalkan Pakatan Harapan (PAKATAN) ketika menerajui negara.

“Ia dilihat cuba memadamkan usaha PAKATAN yang berjaya membawa kebebasan media ke tahap menaikkan imej negara malah memberi keyakinan kepada pemerhati dan pelabur asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden KEADILAN berkata perkara itu membimbangkan susulan sebelum ini kerajaan menyerang dan mengganggu agensi berita asing Al-Jazeera berhubung dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

“Ternyata kerajaan mahu semua pihak termasuk ahli politik dan penggiat media sosial dikenakan tindakan kerana melanggar sesuatu kandungan tidak senada dengannya,” katanya.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media individu yang membuat penerbitan di media sosial atau saluran tradisi wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) Finas.

Bagaimanapun ia mendatangkan kemarahan serta reaksi negatif warga maya selain arahan turut dipersendakan.


Pengarang :