Hutan Simpan Paya Bakau Pulau Ketam diwartakan dan dipelihara semula oleh Jabatan Perhutan Negeri Perlis . Langkah ini meningkatkan pertumbuhan organisma bentos seperti siput, ketam dan sebagainya yang menjadi populasi awal hidup marin di kawasan pantai serta menyediakan makanan kepada burung pantai dan burung laut. Foto: BERNAMA
ALAM SEKITAR & CUACAPENDAPATRENCANA

Pokok bakau perlu ditanam berkala, baiki ekosistem

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

(Laporan ini sempena Hari Antarabangsa untuk Pemuliharaan Ekosistem Bakau yang disambut 26 Julai)

KUALA PERLIS, 26 JULAI: Penanaman pokok bakau perlu dilakukan secara berkala dan berterusan agar ia mampu membaiki semula ekosistem hutan paya yang bukan hanya memberi kesan kepada alam sekitar tetapi turut menjejaskan pendapatan nelayan khususnya nelayan persisiran pantai.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata usaha yang dilakukan kerajaan menanam pokok bakau di persisiran pantai contohnya di Kuala Perlis adalah perkara yang baik namun begitu proses kemenjadiannya tidak 100 peratus. Hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.

“Aktiviti ini perlu dilakukan secara berkala dengan menyulam pokok bakau yang telah mati dan menambah bilangan pokok bakau di kawasan lain, walaupun usaha ini masih di peringkat awal ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah hakisan pantai,” katanya kepada Bernama.

Ahmad berkata usaha penanaman bakau perlu diperhebatkan lagi dengan menanam lebih banyak pokok bakau bagi meningkatkan pertumbuhan organisma bentos seperti siput, ketam dan sebagainya yang akan menjadi populasi awal hidupan marin di kawasan pantai serta menyediakan makanan kepada burung pantai dan burung laut.

Katanya memandangkan Perlis mengalami kemusnahan pokok bakau yang serius, sokongan pihak korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk tempatan sangat diperlukan bagi menjayakan program penanaman pokok bakau sepanjang pantai negeri Perlis.

“Hutan bakau sepanjang pantai boleh membantu melindungi ekosistem pantai daripada hakisan, menggalakkan kepelbagaian biologi marin dan aktiviti pelancongan, meningkatkan aktiviti perikanan pantai, pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Penanaman Pokok Bakau Jadikan Pantai Lebih Produktif

Selain itu Ahmad berkata penanaman pokok bakau boleh menjadikan kawasan pantai lebih produktif memerangkap sedimen, menapis bahan-bahan kimia sekiranya berlaku pencemaran dan meningkatkan pertumbuhan hidupan marin yang akhirnya hasilnya boleh meningkatkan pendapatan nelayan persisiran pantai.

“Usaha ini bukan hanya untuk mengelak hakisan pantai sahaja sebaliknya dapat memberi faedah kepada masyarakat setempat dalam aktiviti ekopelancongan dan pendidikan kepada generasi muda terhadap sains,” katanya.

Wartakan Hutan Paya Laut

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata di peringkat negeri, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut telah bermula sejak tahun 2005 apabila kerajaan negeri terlibat secara langsung dalam ‘Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara’.

“Sehingga 2017 sebanyak 116,683 pokok bakau dan spesies bersesuaian ditanam di sepanjang persisiran pantai negeri Perlis yang melibatkan tanaman seluas 31.0 hektar. Program ini dijalankan seiring dengan program penyelenggaraan tanaman dan kempen kesedaran melibatkan kumpulan sasar seperti pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti setempat,” katanya.

Awang Shaffie berkata Perlis komited dengan usaha pemeliharaan hutan paya laut di negeri Perlis dengan mewartakan hutan paya laut yang pertama bagi negeri Perlis iaitu Hutan Simpan Pulau Ketam seluas 12.87 hektar pada 18 Okt 2019.

Keluasan Hutan Paya Bakau Menurun, Pendapatan Nelayan Merosot

Berdasarkan statistik tahun lepas, jumlah keluasan hutan paya bakau negara hanya sekitar dua peratus daripada jumlah keluasan negara iaitu sebesar 537,686 hektar iaitu 25,000 hektar hutan paya bakau telah musnah dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akibat pembangunan.

Faktor ini jelas memberi kesan kepada pendapatan nelayan persisiran pantai, seperti nelayan veteran, Musa Yahya, 72, yang berkata beliau rindukan zaman Kuala Perlis menjadi lubuk rezeki bagi nelayan.

“Jumlah tangkapan ikan yang diperoleh nelayan persisiran pantai hari ini tidak semeriah dahulu, seingat Pak Ngah 50 tahun dahulu, kalau nak dapat sepikul dua ikan senangin boleh dapat dalam masa satu malam sahaja,” kata bapa lima anak itu kepada Bernama di sini.

Musa yang lebih mesra disapa Pak Ngah berkata hasil laut mula berkurangan sejak 20 tahun kebelakangan ini apabila pokok bakau dan api-api yang menjadi ‘sarang ikan’ yang dahulu tumbuh subur, telah tiada.

“Dulu dekat sini terdapat banyak udang, tapi sekarang kalau dapat tangkap seekor dua udang kira bernasib baik. Ini mungkin kerana pembinaan benteng persisiran pantai bagi mencegah hakisan telah memusnahkan habitat udang,” kata Razman Ismail, 55, anak jati Kuala Perlis.

Razman yang mula bergelar nelayan sejak berusia 18 tahun berkata hasil yang diraihnya sekarang sekitar RM60 hingga RM100 sehari bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

Bapa tujuh anak itu memuji usaha yang dilakukan kerajaan untuk pemuliharaan semula hutan paya laut dengan projek tanaman pokok bakau di persisiran pantai Kuala Perlis.

“Alhamdulillah kami nelayan menyokong usaha murni ini bukan hanya dapat menghalang hakisan pantai sebaliknya pada masa yang sama dapat memulihkan semula pembiakan hidupan laut di persisiran pantai dalam jangka masa panjang,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :