Individu pulang dari luar negara dipakaikan gelang pengawasan sepanjang tempoh kuarantin di rumah. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Polis, KKM terus pantau individu dikuarantin di rumah

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seramai 1,942 individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara diperiksa semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemeriksaan dilakukan pihak polis dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu ini akan terus dilakukan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula 10 Jun lalu kerajaan memutuskan individu yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin di rumah dan tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin.

Bagaimanapun kerajaan menetapkan semula kuarantin wajib di stesen tertentu mulai 24 Julai lalu susulan peningkatan kes import dan ketidakpatuhan SOP hingga menyebabkan peningkatan risiko penularan virus itu.

Sementara itu Ismail Sabri berkata seramai 186 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar arahan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada jumlah itu 41 individu direman, tiga individu dijamin dan 142 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen membabitkan dua individu, aktiviti yang tidak mengikuti SOP (59), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (124) dan langar perintah pengawasan (1).


Pengarang :