Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bungkusan buku sebagai gimik pelancaran perkhidmatan baharu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) “BooksFly2U” di Dewan Annexe, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS lancar khidmat hantar buku ke rumah, pertama di Malaysia

SHAH ALAM, 17 JULAI: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyediakan perkhidmatan penghantaran buku ke rumah, pertama kali seumpamanya di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku boleh dipinjam, maksimum 10 naskhah, menerusi inisiatif Booksfly2u berikutan perbadanan itu bekerjasama dengan syarikat penghantaran yang menghantarnya dalam masa antara tiga hari hingga seminggu.

“Mereka (peminjam) hanya perlu menanggung kos penghantaran sahaja manakala pemulangan buku boleh dibuat menerusi syarikat berkaitan atau hantar ke mana-mana 103 cawangan PPAS di seluruh negeri,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan Booksfly2u di Bangunan Annex di sini hari ini.

Amirudin berkata inisiatif tersebut selaras dasar Kerajaan Negeri yang meletakkan pendidikan sebagai antara fokus utama ke arah mencapai taraf Negeri Pintar 2025.

“Perkhidmatan syarikat penghantaran lebih sinonim dengan sektor makanan dan minuman. Usaha PPAS ini adalah selangkah ke hadapan dan perlu dicontohi sektor lain,” katanya.

Booksfly2u adalah perkhidmatan pesanan pinjaman buku dalam talian yang menjimatkan masa dan tenaga dengan PPAS mengambil senarai pilihan peminjam lalu menghantarnya ke rumah.

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui talian 03-55197667 atau WhatsApp (010-8491448) pada setiap hari kecuali cuti umum.

Pada 23 Mac lalu, PPAS melancarkan perkhidmatan e-Buku untuk dimanfaatkan orang ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarang :