AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PREC beri rebat RM2.8 juta sewa lot kedai

SHAH ALAM, 4 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memberi rebat berjumlah RM2.8 juta kepada hampir 600 peniaga yang menyewa kedai jualan di beberapa kompleks beli-belah dan aset pengurusannya bermula Mac hingga Mei lalu, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Fakru Radzi Ab Ghani berkata pembayaran sewa bagi Jun ditangguhkan tanpa dikenakan sebarang kadar faedah ke atas peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Menara PKNS, Wisma Yakin dan Menara Worldwide.

“Sebanyak 50 peratus pengecualian bayaran sewa diberikan pada Mac dan April manakala 30 peratus (Mei) bagi meringankan beban ditanggung peniaga yang terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut menawarkan aktiviti jualan di ruang legar kepada peniaga dalam semua pusat beli belah terbabit bagi membantu meningkatkan jualan masing-masing.

Sebelum ini, Persatuan Peniaga Kompleks PKNS memohon anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi pengecualian sewa kedai untuk tempoh enam bulan sehingga September.

Malah, mereka juga mahu pengecualian diselaraskan kepada semua jenis perniagaan termasuk sewaan stor di tingkat tiga kompleks.


Pengarang :