EXCOSELANGOR

Program e-sukan Selangor diiktiraf MSN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program e-sukan Selangor Xtiv Virtual 2020 diiktiraf Majlis Sukan Negara (MSN) apabila merekodkan 85,031 pendaftaran setakat ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata Selangor satu-satunya negeri berjaya menganjurkan pertandingan permainan video secara maya berskala besar, malah menarik penyertaan negara luar.

“Antara peserta luar negara yang menyertai pertandingan adalah dari Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat. Saya yakin program ini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras menyediakan aktiviti bermanfaat selaras dengan kehendak golongan muda,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki berhubung aktiviti yang dianjurkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pemerkasaan Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

Program julung kali diadakan itu membabitkan Selangor Xtiv Virtual e-Sport, Selangor Virtual Run dan Selangor Martial Art Xtiv dengan hadiah keseluruhan RM431,000.

Berlangsung sebanyak lapan fasa pertandingan ini berakhir pada 31 Disember 2020. Sukan secara maya ini bagi menggalakkan masyarakat terutama belia bergiat aktif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.


Pengarang :