Ng Sze Han meninjau lokasi projek tebatan banjir sepanjang 300 meter dihubungkan dari Jalan Kenari sehingga ke kawasan tasik di belakang Pusat Beli-belah IOI melalui kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) , Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan IOI Corporation Berhad di Puchong Jaya, Puchong pada 23 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek tebatan banjir RM4 juta IOI Mall siap Feb 2021

PUCHONG, 23 JULAI: Projek tebatan banjir di Jalan Kenari 1 di sini dijangka mampu menyelesaikan masalah banjir di hadapan pusat beli-belah IOI apabila siap sepenuhnya Februari tahun hadapan.

EXCO kerajaan tempatan berkata projek sepanjang 300 meter dengan kos RM4 juta ini akan menyalurkan lebihan air hujan dari Puchong Jaya ke tasik di belakang pusat beli-belah tersebut.

“Kos dua fasa projek ini ditanggung bersama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), IOI Corporation dan Lingkaran Trans Kota Holdings (Litrak).

“Selepas projek mitigasi ini siap saya yakin masalah banjir di hadapan pusat beli-belah IOI dapat diatasi,” kata Ng Sze Han selepas melawat tapak projek tebatan banjir di sini, hari ini.

Beliau berkata projek berkenaan adalah pelan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah banjir di sini sementara MPSJ akan menyelenggara semua longkang sebagai langkah jangka pendek.

Sze Han menjelaskan taburan hujan luar biasa sekitar jam 3.30 petang semalam mengakibatkan kawasan sepanjang pusat beli-belah IOI hingga Bandar Puteri, Taman Kinrara Seksyen 1, 2, 3 dan Taman Melur, Batu 13 mengalami banjir kilat.

Dalam sidang media sama Ahli Dewan Negeri Kinrara memaklumkan kejadian banjir di Setia Walk di sini tidak mempunyai kaitan dengan projek tebatan yang sedang disiapkan kerana saluran air di kawasan berkenaan sudah dinaik taraf dua tahun lalu dan MPSJ sedang menyiasat punca kejadian.


Pengarang :