Carousell antara platform jual beli dalam talian terbesar dan paling pantas berkembang di dunia. Sumber Grafik: thelowdown.momentum.asia
AGENDAEKONOMINASIONAL

Purata rakyat Malaysia untung RM1,396 guna Carousell semasa PKP

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Secara purata, rakyat Malaysia memperoleh keuntungan sebanyak RM1,396 dengan melakukan aktiviti penjualan melalui Carousell semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Februari hingga Jun 2020.

Carousell, antara platform jual beli dalam talian terbesar dan paling pantas berkembang di dunia, berkata kebanyakannya memilih barangan terpakai atas sebab kewangan untuk mendapat tawaran lebih baik daripada pembelian barangan terpakai atau mendapatkan wang tambahan dengan menjual barangan yang tidak diperlukan lagi.

“Rangsangan ini menjadi lebih penting ketika pandemik, apabila rakyat Malaysia melakukan lebih 690,000 transaksi untuk barangan terpakai bagi mendapat lebih wang sama ada untuk simpanan waktu kecemasan, menambah pendapatan atau bagi mengurangkan kesan akibat kehilangan pekerjaan.

“Namun, masih banyak nilai untuk diteroka dalam menjual barang yang jarang digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya di Carousell sahaja, rakyat Malaysia sebenarnya boleh menjual tambahan barangan terpakai bernilai RM640 juta.

Fesyen dan barangan elektronik merupakan dua daripada kategori di Carousell yang popular.

“Semasa PKP, barangan elektronik masih menerima banyak permintaan, dengan lebih 1.2 juta carian peralatan kerja dari rumah,” katanya.

Carousell, yang dilancarkan pada Ogos 2012 di Singapura kini beroperasi di lapan pasaran di Asia.

-BERNAMA


Pengarang :