Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pusat kuarantin atau hotel jika tidak sesuai di rumah

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat kemungkinan menempatkan individu yang pulang dari luar negara menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, pusat kuarantin atau hotel.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pendekatan tersebut menyasarkan mereka yang pulang dari negara berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 dan mereka yang tidak mempunyai persekitaran bersesuaian di rumah untuk dikuarantin.

“Kami melihat langkah itu tetapi yang lebih penting sebelum mereka pulang, mereka harus melakukan saringan tiga hari sebelum menaiki pesawat dan jika perlu kami akan mengulangi ujian semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Sekurangnya-kurang kami tahu mereka negatif sebelum menaiki pesawat,” katanya kepada pemberita pada taklimat media harian mengenai Covid-19 di sini, semalam.

Katanya, mereka yang didapati positif akan diasingkan dan dihantar ke hospital.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata susulan jumlah kes baharu rendah dan kapasiti saringan Covid-19 di bawah tahap maksimum, kementerian akan meningkatkan saringan dalam kalangan 11 kumpulan sasaran dan melaksanakan pensampelan secara rambang dalam komuniti berdasarkan lokaliti.

“Kajian menunjukkan peratusan kes yang dijangkiti dalam komuniti sangat rendah. Apabila amat rendah, kami perlu menyemak semula, mengambil beberapa langkah, menyusun semula dan merancang untuk menyasarkan komuniti,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :