Pengamal media mencuba aktiviti lasak yang disediakan Skytrex Sungai Congkak ketika Program Media Familiarization Trip 2019 Discover Hulu Langat anjuran Tourism Selangor, 5 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

‘Pusing Selangor Dulu’ dapat sambutan, yakin capai sasaran pelancong

SHAH ALAM, 20 JULAI: Tourism Selangor yakin sasaran enam juta pengunjung tahun ini tercapai melalui kempen Pusing Selangor Dulu yang menyasar pelancong domestik.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata inisiatif yang dilancar Jun lalu mendapat sambutan baik selaras visi penetapan semula industri pelancongan (reset tourism).

“Tourism Selangor menetapkan sasaran baharu pelancong pada 2020 dan dijangka dapat direalisasi dengan sebahagian besarnya disumbang pelancong domestik.

“Pelbagai inisiatif juga dibuat antaranya penggunaan landasan digital dan media sosial untuk promosi, kerjasama dengan media tempatan dan antarabangsa melalui Media Fam Trip, pemberian diskaun serta pakej pelancongan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Selangor menyasar lapan juta pelancong dengan pendapatan RM15 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia, namun terpaksa dibatalkan susulan penularan Covid-19.

Pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga yang diumum pada 13 Julai lalu memperuntuk insentif RM1,000 sekali bayar kepada pekerja sektor pelancongan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumum subsidi baucar bagi hotel, taman tema dan inap desa berlesen sebanyak RM2 juta.


Pengarang :