Atlet menembak Selangor menjalani latihan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang pada 16 Jun 2020. Foto ASRI SAPIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rahsia sasaran pingat, elak tekanan pada atlet menembak

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pasukan menembak Selangor enggan mendedahkan sasaran pingat supaya atlet tidak tertekan ketika melakukan persiapan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2020, kata jurulatihnya.

Teh Shu Seng berkata hampir 30 atlet menjalani latihan bagi memantapkan corak persembahan sejak 11 Jun lalu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang.

“Mereka sudah kembali menjalani latihan seperti biasa untuk meningkatkan kemahiran selepas melakukannya di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga belum memutuskan senarai akhir atlet dan acara tetapi yang pasti kita akan sertai acara rifle lelaki,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata dua atlet menembak negara, Haritz Iklil Hessly Hafiz dan Dina Batrisyia Adi Azhar turut berlatih bersama atlet yang lain dan berpotensi untuk disenaraikan jika mempamerkan persembahan terbaik sepanjang sesi pemilihan.

Shu Sheng menjelaskan hampir 30 pingat bakal dipertandingkan pada Sukma yang akan berlangsung di Johor dan Selangor akan berusaha menebus kehampaan kejohanan lalu apabila sekadar mengutip lima pingat keseluruhan.


Pengarang :