EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 15 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ramai pegang lebih satu lesen peniaga kecil – Rodziah

SHAH ALAM, 16 JULAI: Hasil semakan pangkalan data peniaga dan penjaja kecil mendapati ramai memiliki lebih daripada satu lesen perniagaan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata keadaan itu menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menilai semula bantuan RM500 kepada golongan tersebut bagi mengelak diberi kepada pihak tidak sepatutnya.

“Sebelum ini kita tiada pangkalan data berpusat senarai pemegang lesen. Pihak berkuasa tempatan (PBT) ada pangkalan data masing-masing, jadi kita tidak dapat kesan jika individu sama memohon lesen di PBT lain dan sebab itu ada memiliki sehingga tujuh lesen.

“Apabila pemegang lesen 12 PBT digabungkan, kita dapati bilangan keseluruhan adalah 80,000 orang, namun jumlah ini tidak tepat kerana banyak kes individu memiliki lebih daripada satu lesen,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hilman Idham berhubung insentif RM40 juta bagi membantu peniaga dan penjaja kecil pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam.

Hilman mendakwa ramai peniaga dan penjaja tidak mendapat bantuan RM500 walaupun Kerajaan Negeri menyasarkan 80,000 orang menerima manfaat tersebut.

Ketika ucapan penggulungan pada Sidang DNS Selasa lalu, Rodziah berkata Kerajaan Negeri hanya membelanjakan RM10 juta daripada RM40 juta insentif diperuntukkan kepada peniaga dan penjaja kecil di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19.

Katanya bantuan RM500 tidak disalurkan sepenuhnya kerana siasatan mendapati terdapat salah laku berhubung pengeluaran dan penggunaan lesen perniagaan.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM40 juta untuk melaksanakan insentif khas kepada peniaga dan penjaja berlesen yang terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :