Pemenang Mrs Malaysia World 2019/2020 Priyaa Simmi ketika ditemu ramah di Wisma Bernama baru-baru ini. Ratu cantik itu bercita-cita mendidik rakyat tentang kesan buruk penggunaan plastik sekali guna. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ratu cantik mahu didik kesan buruk plastik sekali guna

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: “Alasan mengapa kita tidak menyertai aktiviti kelestarian adalah kerana kita fikir kita perlu melakukannya dengan sempurna, tetapi itu tidak benar.

“Apa yang perlu kita tahu adalah apakah benar-benar terdapat keperluan atau tidak dalam membeli plastik sekali guna untuk penggunaan harian kita,” kata Priyaa Simmi, pemenang Mrs Malaysia World 2019/2020.

Ratu cantik berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu, yang bercita-cita ingin mendidik rakyat Malaysia tentang kesan buruk akibat penggunaan plastik sekali guna, percaya perubahan kecil boleh dibuat di rumah untuk membolehkan orang ramai membuat perubahan dalam menentang penggunaan plastik.

“Walaupun kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengekang penggunaan beg plastik sekali guna dalam kalangan orang ramai, kebanyakan mereka masih meminta beg plastik di pusat beli-belah berbanding membawa sendiri beg mesra alam dari rumah,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Usahawan berusia 25 tahun itu yang kini menganjurkan gerakan kempen bebas plastik ‘Plastic Fee July’ yang memperjuangkan isu dunia bebas daripada sisa plastik, berkongsi beberapa panduan penting cara mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam rutin harian termasuk mencadangkan orang ramai membawa beg beli-belah yang boleh diguna semula dan mengelakkan penggunaan botol air plastik.

Priyaa, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakauan dan mempunyai syarikat keselamatan, spa kecantikan dan butik dalam talian mencadangkan agar orang ramai membawa beg boleh diguna semula apabila keluar membeli-belah dan menggantikan botol air plastik dengan botol boleh diisi semula kerana ia dapat mengurangkan sisa plastik sekali gus alam sekitar dapat dipelihara dengan lebih lama untuk generasi akan datang.

Beliau berkata sebagai contoh, kakitangan dan pelanggan di pejabatnya diberitahu untuk membawa botol air guna semula milik mereka kerana ia dilihat pilihan yang lebih mampan berbanding botol air plastik.

“Kami tidak mahu berjuta tan sisa plastik dibuang di tapak pembuangan sampah atau kawasan alam semula jadi. Kita menghasilkan beratus juta tan plastik setiap tahun, 50 peratus daripada adalah untuk tujuan sekali pakai yang hanya digunakan seketika, tetapi di bumi ia bertahan beratus tahun. Berjuta-juta tan plastik berakhir di lautan dan kita juga secara tidak langsung membunuh kehidupan marin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Priyaa yang berjaya mara sebagai 20 peserta terbaik daripada 60 peserta dalam pertandingan antarabangsa Mrs World 2019 di Last Vegas hujung tahun lepas berkata, wanita tidak boleh berkompromi dengan impian dan minat mereka selepas berkahwin dan perkahwinan itu tidak seharusnya menjadi penghalang buat mereka mencapai kejayaan.

“Saya berasal daripada keluarga India yang biasa dan kehidupan saya berubah selepas berkahwin apabila keluarga mentua saya memberi sokongan penuh terhadap apa yang saya lakukan dan menjadikan saya seperti hari ini,” katanya.

Priyaa yang juga Pengasas dan Presiden Persatuan Kemajuan Dan Kebajikan Sai Malaysia yang ditubuhkan pada 2012 berkata, beliau bersama-sama Kitafund.com, platform pengumpulan dana untuk keperluan perubatan dan kemanusiaan serta kecemasan, berjaya mengumpul RM268,510 untuk disalurkan kepada mereka yang terjejas oleh pandemik Covid-19.

Mengenai projek terkini beliau, Priyaa yang telah memperjuangkan kebebasan kewangan untuk wanita kurang bernasib baik selama bertahun-tahun, merancang untuk menganjurkan bengkel wanita bagi memperkasa golongan itu menjadi bebas daripada beban kewangan sambil menjalani gaya hidup yang memanfaatkan individu dan alam sekitar.

“Bengkel ‘Women for Women’ yang diadakan di Bangsar pada 19 Julai lepas adalah satu kejayaan dan ia dihadiri oleh 25 wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat yang memfokuskan antara lain, perbincangan mengenai pengurusan kewangan dan kaedah mengatasi keganasan rumah tangga,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :