AGENDANASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.2625/2685 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Ringgit rendah semasa dagangan dibuka hari ini memandangkan pasaran Asia menunggu data perindustrian dan jualan runcit China, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan turun kepada 4.2625/2685 berbanding dolar AS daripada 4.2600/2640 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata mata wang di Asia diniagakan tidak berubah walaupun sentimen risiko masih cukup positif dengan saham AS didagangkan tinggi manakala harga minyak mentah stabil di paras sokongan.

“Bagi hari ini, ringgit akan mengambil petunjuk daripada reaksi renminbi China terhadap data ekonomi negara itu yang dikeluarkan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak mentah didagangkan meningkat hampir dua peratus semalam selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bersetuju merendahkan lagi pengurangan pengeluaran.

Ketika ini, minyak Brent berada pada AS$43.65 setong, susut 0.32 peratus.

Sementara itu AmBank Group menerusi nota penyelidikan hari ini berkata ia menjangkakan mata wang tempatan diniagakan di antara paras sokongan 4.2545 dengan 4.2588 manakala paras rintangan disandarkan pada 4.2672 dan 4.2719.

Ia berkata tumpuan hari ini akan terarah kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) European Central Bank dan mesyuarat MPC Bank Indonesia.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya hari ini berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.9848/9907 daripada 3.9835/9877 ketika ditutup semalam namun tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0654/0715 daripada 3.0661/0694.

Ringgit juga stabil berbanding pound Britain kepada 5.3588/3668 daripada 5.3680/3748 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.8644/8729 daripada 4.8675/8729.

– BERNAMA


Pengarang :