AGENDAEKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.2680/2730 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Ringgit dibuka rendah pada Selasa, menjejaki penurunan semalaman dalam pasaran AS selepas optimisme mengenai pembukaan semula ekonomi terjejas berikutan perintah oleh Gabenor California untuk aktiviti dalaman ditutup di seluruh negeri.

Sehingga 9 pagi, unit tempatan rendah kepada 4.2680/2730 berbanding dolar AS daripada 4.2630/2680 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata spekulasi mengenai strategi anggota OPEC menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Menteri Bersama kartel minyak esok boleh menjadi menarik.

“Pelan sedia ada menggesa OPEC+ kepada pengurangan pada Ogos selepas lanjutan selama sebulan.

“Walaupun Rusia menunjukkan ia menjangka untuk meningkatkan pengeluaran sejajar dengan persetujuan, terdapat kemungkinan ketidaktentuan berhubung permintaan berikutan jangkitan Covid-19 yang meningkat yang akan membawa kepada satu lagi lanjutan fasa awal pengurangan,” katanya melalui e-mel hari ini.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent sebanyak US$42.06 setong, susut 1.54 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi pada pembukaan kecuali berbanding euro, yang merosot kepada 4.8416/8490 daripada 4.8253/8318.

Berbanding dolar Singapura, yang Kementerian Perdagangan dan Industri republik itu menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua rendah dalam persekitaran ekonomi global yang merosot, ringgit diniagakan tinggi kepada 3.0657/0699 daripada 3.0660/0707.

Berbanding yen, unit tempatan naik kepada 3.9799/9849 daripada 3.9800/9858 dan meningkat kepada 5.3542/3622 daripada 5.3731/3815 berbanding pound.

-BERNAMA


Pengarang :