AGENDANASIONAL

Ringgit susut 4.2850 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Ringgit meneruskan penyusutannya apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas harga minyak tidak mengalami sebarang kenaikan.

Pada 9.10 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2850/2900 berbanding 4.2840/2880 sewaktu ditutup semalam.

Menurut Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes, sentimen juga ternyata tidak memberangsangkan susulan perkembangan luaran namun di Asia khususnya, terdapat risiko membabitkan isu perundangan Hong Kong yang mendapat bantahan daripada AS, United Kingdom serta Jepun.

“Saya berpendapat kesan daripada amaran agensi (penarafan) mengenai hutang akan terus mempengaruhi prestasi ringgit sepanjang minggu ini.

“Risiko tukaran asing misalnya dijangkakan tidak berlaku hari ini berikutan peristiwa penting dan berisiko itu hanya ketara menjelang pengumuman mengenai data gaji bukan perladangan AS,” katanya kepada Bernama.

Minyak mentah Brent diniagakan lebih rendah pada US$41.90 setong manakala harga West Texas Intermediate (WTI) susut kepada US$39.64 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama.

Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0743/0781 daripada 3.0718/0756 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.3438/3513 daripada 5.3100/3167, semalam.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.8211/8271 daripada 4.8007/8068 serta susut berbanding yen Jepun pada 3.9868/9922 daripada 3.9833/9881.

-BERNAMA


Pengarang :