AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RM35 bilion tingkat kualiti bekalan air, kurangkan gangguan

SUBANG JAYA, 16 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membuat pelaburan pembangunan berjumlah RM35 bilion untuk tempoh 30 tahun bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Suhaimi Kamaralzaman berkata pelaburan itu termasuk bagi memenuhi keperluan bekalan air bersih kepada pengguna di Wilayah Klang dan Petaling dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

“Kita juga merancang mencari sumber air loji rawatan di selatan negeri ini supaya bekalan air lebih cepat sampai kepada residen di kawasan berkenaan.

“Sekiranya loji rawatan air dihenti tugas disebabkan kerja penambahbaikan, kita berharap dapat meminimumkan tempoh gangguan bekalan air kepada pelanggan terjejas kerana ia (gangguan bekalan air) adalah sesuatu di luar jangka,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Setempat USJ4 di sini hari ini.

Pemerkasaan terhadap industri bekalan air antara salah satu fokus digariskan dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Julai lalu di bawah aspek kemampanan ekonomi.


Pengarang :