AGENDANASIONAL

RMK-12: Polis mohon kamera badan, senjata tidak bawa maut

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membekalkan 1,300 unit kamera badan kepada warganya selepas melihat keberkesanan penggunaan alat itu dalam meningkatkan penugasan dan menangani penyelewengan dalam tugas oleh anggota pasukan keselamatan tersebut.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata keberkesanan penggunaan kamera badan telah diuji sejak beberapa tahun lepas dan PDRM melihat ia dapat membantu dalam urusan pengendalian jenayah secara telus selain mengelak fitnah dalam kalangan anggota serta pegawai.

“Oleh demikian, PDRM memohon sebanyak 1,300 unit kamera badan untuk kegunaan masa akan datang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata pasukan keselamatan itu juga akan menambah kira-kira 1,000 unit senjata tidak membawa maut untuk kegunaan pegawai ketika berhadapan dengan individu agresif dan cadangan mengenai perolehan berkenaan telah dimasukkan dalam Pelan RMK-12.

Katanya, PDRM telah mengenal pasti dua jenis senjata iaitu pistol perenjat elektrik dan pistol jaring yang sesuai digunakan polis ketika berdepan sebarang kejadian tidak diingini semasa bertugas.

“Kami telah mempunyai senjata berkenaan dan digunakan secara menyeluruh namun setiap senjata itu mempunyai jangka hayatnya yang tertentu sehinggakan hanya 100 unit yang tinggal kini,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu telah dipanjangkan kepada kerajaan untuk ditambah sebagai fasa pertama perolehan pada tahun hadapan.

Rosli berkata PDRM akan menggunakannya secara menyeluruh dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada senjata yang boleh mendatangkan maut.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata PDRM kini dalam proses mengurangkan penggunaan senjata api terutama apabila berhadapan dengan orang agresif atau mengamuk dan berhasrat menangani sebarang jenayah dengan cara tidak meragut nyawa pesalah.

Rosli turut memaklumkan peruntukan berjumlah RM40 juta telah diluluskan kerajaan bagi menaik taraf stor barang kes Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Beliau berkata PDRM juga merancang menambah keperluan kamera litar tertutup di 684 lokasi melibatkan lokap polis di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :