Selangorkini
DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj (tengah) memegang cek cura bernilai RM1.3 juta dari CSR Sdn Bhd bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim Yide. Foto Yide
AGENSI SELANGOR

RMS berkenan terima sumbangan RM1.55 juta bina Kompleks Anak Yatim Yide

SHAH ALAM, 21 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan menerima sumbangan bagi pembinaan Kompleks Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah.

Pengurus Besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata lima syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang dengan jumlah keseluruhan RM1.55 juta.

“Yide mengucapkan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat atau agensi berkaitan kerajaan untuk bersama menjayakan pembinaan kompleks ini.

“Kompleks ini juga adalah usaha sama Yide dengan Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor yang sehingga kini telah mengumpul sejumlah RM6.3 juta tetapi masih perlukan RM3.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis ringkas di Istana Mestika hari ini, Raja Muda Selangor berkenan menerima sumbangan daripada Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd bernilai RM1.3 juta; Worldwide Holdings Berhad (RM45,000); Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (RM36,600); Celcom Axiata Berhad (RM50,000) dan Aiman Platinum Sdn Bhd (RM41,000).

Turut hadir, Pengerusi Yide Dato’ Bakhtiar Husin dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Dr Haji Ahmad Shahir Makhtar.

Yide menyeru orang ramai, syarikat korporat dan agensi kerajaan menyumbang bagi pembinaan kompleks itu melalui Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz (https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/), Jom Pay (BillerCode: 81059) atau aplikasi SnapNPay.


Pengarang :