Muhammad Suhaimi Ali, (empat, kiri), Abdul Hadi Ramli (lima, kiri) dan Firdaus Nordin (dua, kanan) bersama pegawai polis berada di lokasi mural dan potret lukisan pemimpin negara diconteng pihak tidak bertanggungjawab di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 pada 20 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RUsSEL: Conteng mural pemimpin tindakan biadab, tiada hormat

SHAH ALAM, 20 JULAI: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) menyifatkan perbuatan menconteng mural wajah pemimpin negara pada dinding sebuah bangunan di U12 di sini sebagai biadab dan tiada hormat.

RUsSEL dalam kenyataan mengecam perbuatan vandalisme itu yang dianggap mencabul karya seni dan ruang awam.

“Dikhabarkan bahawa lukisan mural yang memaparkan wajah beberapa tokoh pemimpin pada dinding bangunan di U12 dirosakkan oleh pelaku musnah.

“Ini biadab dan tiada hormat. RUsSEL mengecam perbuatan yang mencabul seni dan ruang awam ini,” katanya.

Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menghargai karya seni pelukis tempatan turut menzahirkan rasa murka dan dukacita dengan perbuatan vandalisme tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin yang mengecam sekeras-kerasnya perbuatan itu menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam dan polis bekerjasama menyiasat serta memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pengarah kesihatan.

Turut dipaparkan dalam barisan itu Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Potret tersebut dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26 dan Abdul Hadi Ramli, 27.


Pengarang :