Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan melakukan cerapan anak bulan menggunakan teleskop pada majlis Cerapan Rasmi Hilal Zulhijah 1441/2020M bagi menetapkan Hari Raya Aidiladha di Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan pada 21 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sambut Aidiladha dengan kesedaran, semangat baru

SHAH ALAM, 30 JULAI: Orang ramai digesa memaknai sambutan Aidiladha dengan kesedaran dan kebangkitan baru, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata masyarakat harus berfikir, merenung dan menggarap pengajaran berguna daripada penularan Covid-19 yang masih berleluasa di dunia.

Ketua pembangkang berkata perayaan itu untuk mengingatkan umat Islam terhadap kepasrahan Nabi Ibrahim yang patuh perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

“Semarak takbir Aidiladha juga mengingatkan kita bagaimana Nabi Ibrahim memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata iaitu Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, perintah-Nya dan ajaran-Nya.

“Peristiwa itu mencerminkan ketauhidan Nabi Ibrahim kepada keesaan Allah ketimbang (berbanding) perasaan peribadi mahu menyelamatkan anaknya sendiri,” katanya dalam perutusan sempena sambutan itu.

Anwar berkata peristiwa itu menjelmakan ibadah korban bagi meraikan pengorbanan besar seorang bapa dan anaknya sekali gus menjadi kunci kepatuhan umat Islam, bukannya mengikut nafsu.

“Mengorbankan haiwan ternakan itu juga bermakna mengorbankan segala sikap lama dan usang, mula menjalani kehidupan baru dan segar yang semestinya ditopangkan kepada kejujuran, keadilan dan rasa peduli kepada yang miskin dan melarat,” katanya.


Pengarang :