Foto Instagram Luqman Hakim Shamsudin
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Sathianathan: Terus disiplin, Luqman Hakim boleh jadi inspirasi belia

SHAH ALAM, 6 JULAI: Peluang menyertai kelab divisyen 1 Belgium KV Kortrijk perlu dimanfaatkan sepenuhnya Luqman Hakim Shamsudin dengan mempamerkan disiplin tinggi dan bekerja keras.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia B Sathianathan yang gembira dengan perkembangan ini percaya penyerang muda negara berusia 18 tahun itu mampu menjadi inspirasi kepada belia lain.

“Terus bekerja keras dan berdisiplin, biar (sampai) jadi idola kepada generasi muda untuk mengikut langkah bermain di Eropah,” kata ketua jurulatih Selangor ketika dihubungi Selangorkini.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Selangor mengesahkan perpindahan Luqman Hakim selepas mencapai persetujuan bersama KV Kortrijk dan langkah itu mampu memperkukuhkan karier profesionalnya ke peringkat seterusnya.

Bekas pemain remaja Red Giants dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020.

Beliau juga menjadi penjaring terbanyak AFC U-16 walaupun hanya bermain dua perlawanan dan pada masa sama menjadi tonggak penting membantu skuad remaja negara pada Kejuaraan Remaja AFF U-19, tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter turut mengucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada Luqman Hakim.


Pengarang :