Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melawat galeri Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan ketika lawatan kerja pada 2 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sekolah agama, madrasah tahfiz boleh beroperasi mulai 15 Julai

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

“Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikemukakan oleh KPM supaya kita akan dapat menamatkan rangkaian Covid-19.

“(Pembukaan ini juga) Termasuk madrasah yang jika berdaftar bawah KPM boleh terus dapat beroperasi tetapi jika tidak berdaftar mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Mohd Radzi berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baharu bagi meningkatkan kompentensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes yang tertunggak,” katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa selama kira-kira dua jam lebih bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.

– BERNAMA


Pengarang :