Penghantar barangan dalam talian aplikasi “Seldec Rider” mengangkat beg barangan mereka selepas selesai sesi sidang media Pelancaran Web Portal SELDEC (Selangor Digital e-Supply Chain) & Sistem Aplikasi “Seldec Rider” di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA

Selangor azam ke arah pembangunan digitalisasi – MB

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kesan penularan Covid-19 membuka peluang Kerajaan Negeri untuk lebih komited membangunkan sistem pangkalan data digital selaras dengan hasrat menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor sudah mengorak langkah ke arah digitalisasi seperti pembangunan pangkalan data lesen peniagaan yang berjaya mengumpulkan maklumat 80,000 penjaja di seluruh negeri.

“Digitalisasi adalah pendekatan menyeluruh bukan hanya kerajaan tetapi swasta. Sebagai contoh jaringan petani, pesawah atau pekedai itu lebih lengkap di akar umbi berbanding data rasmi. Sebab itu kita yakin dengan iltizam yang jelas.

“Dalam ucapan saya sebelum ini sering saya ingatkan jika kita tidak bersama dengan arus perubahan maka kita akan ketinggalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara dalam program Agenda Awani.

Beliau berkata iltizam politik memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat berkenaan seperti dilakukan Estonia yang berjaya membangunkan sistem digital hingga membolehkan rakyatnya mengundi secara dalam talian walaupun berada di lapangan terbang.

Amirudin menjelaskan beberapa inisiatif perniagaan secara dalam talian diwujudkan Kerajaan Negeri seperti e-Bazar Ramadan, e-Bazar Raya bersama Shopee dan Pasar Agro Selangor turut mencatatkan nilai jualan melangkaui sasaran sekali gus memberikan petanda masyarakat bersedia ke arah digitalisasi.


Pengarang :