EXCOSELANGOR

Selangor bantu Orang Asli dapatkan peluang kerja

HULU LANGAT, 7 JULAI: Selangor tekad memastikan masyarakat orang asli khususnya anak muda di negeri ini mendapat peluang pekerjaan sama rata dengan rakyat lain.

Hee Loy Sian berkata ia dapat meningkatkan tahap sosio ekonomi komuniti itu seterusnya membantu menampung pendapatan keluarga.

“Jika kita lihat sekarang ini (Orang Asli) tidak banyak masuk hutan untuk mencari rezeki. Jadi, ini merupakan tanggungjawab kita untuk pastikan mereka dapat peluang pekerjaan sama seperti orang tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kerusi dan Meja kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung-Kampung Orang Asli Hulu Langat di Balai Raya KOA Kuala Pangsun di sini hari ini.

Sementara itu, Loy Sian berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menyelesaikan isu kekurangan dan kerosakan rumah penduduk di sekitar perkampungan Kuala Pangsun.

“Jika tiada elektrik, kita cuba untuk memasang sistem panel solar bagi membolehkan laluan utama masuk ke kampung ini diterangi lampu dan memudahkan pergerakan pengguna khususnya penduduk di sini,” katanya lagi.


Pengarang :