Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor benar pertambahan jemaah ikut saiz masjid, surau

SHAH ALAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj membenarkan pertambahan bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad berkata ruang solat perlu mematuhi penjarakan sosial 1.5 meter selain jemaah perlu mendaftar dan mengikut giliran.

“Bagi solat fardu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah kehadiran jemaah wanita pula hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka semula mulai 3 Julai lalu untuk solat Jumaat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Solat Jumaat dan fardu berjemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan 1,000 orang.

Kehadiran jemaah semua masjid lain pula ditetapkan maksimum 500 orang tertakluk kepada kapasiti rumah ibadat berkenaan.

Bagi surau yang ada kebenaran mengadakan solat Jumaat, bilangan maksimum 40 orang. Syarat sama terpakai untuk solat fardu berjemaah bagi surau lain. Jumlah tersebut tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid atau surau.

 


Pengarang :