Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA

Selangor berjaya capai 92 peratus pesakit pulih Covid-19

SHAH ALAM, 15 JULAI: Selangor merekodkan jumlah pesakit pulih Covid-19 tertinggi iaitu pada kadar 92 peratus sehingga kini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu sekali gus hampir sama dengan kadar pesakit pulih negara yang kini berada pada tahap 95 peratus.

Katanya, pada masa sama, hampir kesemua daerah di negeri ini tidak lagi mencatat kes baharu wabak itu apabila lapan daerah sudah bertukar status kepada zon hijau.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 15 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Sementara zon kuning hanya tinggal di Sepang sahaja, itupun disebabkan kes warga asing di Depot Tahanan Imigresen di kawasan berkenaan.

“Sehingga semalam kita merekodkan 2,093 kes sahaja dan 91 hingga ke 92 peratus kes sudahpun pulih hampir setanding dengan kes pulih Malaysia iaitu 95 peratus,” katanya pada sesi penggulungan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Hari ini, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Selangor merekodkan satu kes positif baharu sekali gus menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 2,094.

 


Pengarang :