Pekerja di pusat boling Super Bowl, Shah Alam menyembur cecair pembasmi kuman di sekitar premis selepas dibenarkan beroperasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika tinjauan pada 11 Jun 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat empat kes positif Covid-19, hanya kes import

SHAH ALAM, 13 JULAI: Terdapat empat kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor hari ini membabitkan individu yang mendapat jangkitan dari luar negara, kata Dato’ Menteri Besar.

“Semua kes tidak melibatkan jangkitan tempatan, ia berpunca daripada kes import atau pengembara yang pulang dari Indonesia, Ukraine, Australia dan Filipina,” menurut Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran apabila Petaling menjadi daerah kelapan diisytihar zon hijau selepas Hulu Selangor.

Berdasarkan laporan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), kes aktif kini hanya terkumpul di daerah Sepang sahaja.

“Kini Selangor hanya memiliki satu daerah zon kuning dengan dua mukim (berstatus sama) di dalamnya dan ini pencapaian terbaik sehingga hari ini, jangan sia-siakan dengan pelaksanaan SOP (tatacara operasi piawai) yang longgar serta tidak mengamalkan norma baharu. Terus berdisiplin!,” kata pasukan itu menerusi Facebook.

Keseluruhannya, setakat jam 12 tengah hari tadi negeri itu merekodkan 2,092 kes.


Pengarang :