EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han ketika ditemu bual selepas Ops Terjah bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jalan Kepayang, Klang Utara pada 10 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor dalam proses pinda UUK, larang warga asing niaga

KLANG, 10 JULAI: Selangor dalam proses meminda Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi melarang warga asing menjadi penjaja atau terlibat sebarang aktiviti perniagaan di negeri ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ia bertujuan memberi peluang perniagaan kepada warga tempatan.

“Warga asing datang ke negara ini untuk bekerja di kilang atau melancong bukan berniaga.

“Semua pihak perlu membezakan status antara pelabur dengan pekerja asing bagi menguatkuasakan perkara tersebut,”katanya ketika ditemui dalam Ops Terjah bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sekitar Pusat Perniagaan Lorong Kepayang, Klang Utara di sini hari ini.

Pada masa sama, Sze Han mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak mengambil kesempatan memberi sewa kepada warga asing demi mengaut keuntungan.

Difahamkan, Kerajaan Negeri dijangka membuat penyelarasan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor berkaitan pindaan itu.


Pengarang :