Dato’ Seri Amirudin Shari sedang membersihkan kawasan sekitar perumahan di Kampung Sri Jambu, Kajang pada 20 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

Selangor mohon RM500 juta laksana tebatan banjir

KAJANG, 20 JULAI: Selangor memohon peruntukan RM500 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mengatasi isu kekerapan banjir di Kajang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 merangkumi proses mendalamkan dan mengukuhkan sungai bagi menampung kapasiti aliran air serta menaik taraf kolam takungan.

“Kita harap ia menyelesaikan masalah banjir yang dibimbangi penduduk sekitar Sungai Jambu, Sungai Pening dan Sungai Sekamat di Kajang serta kawasan berhampiran apabila setiap kali hujan dalam tempoh lama.

“Bagaimanapun berlaku banjir luar biasa beberapa hari lalu dengan catatan 192 milimeter hujan berbanding kemampuan Sungai Langat yang boleh menerima maksimum 88 milimeter sahaja,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat operasi banjir di Menara Majlis Perbandaran Kajang hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap isu pencerobohan di tebing Sungai Langat.

“Aktiviti tanpa kebenaran di tebing sungai menjadi punca mudahnya berlaku banjir, saya mahu isu ini diberi perhatian serius, kita tidak boleh biarkan,” katanya.

Kelmarin berlaku banjir kilat di 22 kawasan di Hulu Langat diikuti Sepang (14), Hulu Selangor (4) Gombak (dua) dan Klang (satu).


Pengarang :