Exco Kerajaan Negeri, Ng Sze Han bercakap dalam sidang media di Dewan Annexe pada 14 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor negeri pertama larang merokok, minum minuman keras di taman

SHAH ALAM, 14 JULAI: Selangor muncul negeri pertama di negara ini menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

EXCO kerajaan tempatan berkata pelaksanaan itu bermula hari ini dan jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

“Kami memandang serius perkara ini kerana taman permainan dan rekreasi semakin kerap dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak serta warga emas.

“Demi keselesaan dan kesihatan pengunjung lebih-lebih lagi pada pasca Covid-19, sudah tiba masanya kita melarang aktiviti minum arak (minuman keras) dan merokok,” kata Ng Sze Han dalam sidang media di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata bagi melaksanakannya, anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membuat pemantauan berkala di seluruh taman.

“Kami juga menggalakkan orang awam untuk membuat aduan sekiranya ternampak individu yang cuba merokok, ‘vape’ dan minum arak (minuman keras) di taman,” katanya.


Pengarang :