Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Selangor rekod pelaburan domestik langsung tertinggi di Malaysia

SHAH ALAM, 27 JULAI: Selangor berjaya merekod pelaburan domestik langsung (DDI) bernilai RM6,625.4 juta pada 2019, tertinggi dalam negara, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga menunjukkan dasar fiskal negeri ini dikukuhkan lagi dengan kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) bernilai RM10,414.9 juta.

“Keadaan ekonomi 2020 sangat mencabar di mana organisasi kewangan utama dunia seperti Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan perkembangan ekonomi global yang sangat lemah susulan ancaman Covid-19,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan Kerajaan Negeri tidak mengalah dan terus menggerakkan semula jentera ekonomi menerusi tiga pakej rangsangan ekonomi termasuk Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor 2020.

“Pelan pemulihan ini menekankan tiga tonggak utama dalam menangani impak Covid-19 iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan dengan jumlah keseluruhan RM55.85 bilion,” katanya.

Negeri ini kekal penyumbang terbesar KDNK negara sebanyak 23.7 peratus tahun lalu selain merekodkan pelaburan tertinggi RM18.7 bilion dalam tempoh 30 tahun.


Pengarang :