EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail (tengah) bergambar bersama peserta Program Sarang Ekonomi Desa Agro Cili 2020 di Dewan Jubli Perak SUK, hari ini.
EXCOSELANGOR

Selangor sasar pengeluaran cili merah segar 650 tan metrik setahun

SHAH ALAM, 9 JULAI: Selangor menyasarkan pengeluaran cili merah segar sebanyak 650 tan metrik setahun menerusi Program Sarang Ekonomi Desa Agro Cili 2020.

EXCO pembangunan usahawan berkata seramai 260 pengusaha cili bakal menjalankan usaha berkenaan bagi kawasan Petaling, Klang dan Kuala Selangor.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri sudah beri taklimat kepada lebih 100 individu yang berminat untuk menjalankan projek tanaman cili bagi fasa pertama.

“Kita fokus kepada tanaman cili kerana cili merah kadangkala tidak cukup di pasaran, sekiranya sudah banyak produk cili dikeluarkan pengusaha tempatan, pada masa akan datang Selangor tidak lagi akan bergantung kepada cili import,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian selepas Taklimat Sarang Ekonomi Desa Agro Cili Tahun 2020 di Dewan Jubli SUK, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Projek Ilham, Faizal Rahman serta hampir 100 peserta.

Rodziah yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi juga berkata projek tanaman cili itu dapat memanfaatkan tanah terbiar di kawasan luar bandar.

“Tetapi saya sarankan, jika hendak jalankan projek ini, dapatkan kebenaran daripada pemilik tanah terlebih dahulu.

“Semoga usaha sebegini dapat melahirkan lebih ramai usahawan sekali gus dapat melonjakkan ekonomi negeri,” katanya.


Pengarang :