Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan isyarat bagus selepas memeriksa kualiti beg yang dibekalkan kepada penghantar barang pada sidang media pelancaran portal Seldec dan aplikasi Seldec Rider di Bangunan SUK, Shah Alam pada 24 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI

Seldec jaringan peniaga pasar produk, kukuh ekonomi

SHAH ALAM, 13 JULAI: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) memastikan hasil pertanian dan produk di negeri ini dipasarkan secara meluas termasuk kawasan luar bandar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan secara dalam talian dengan sistem penghantaran efektif dapat mengukuhkan ekonomi penduduk setempat.

“Usahawan kini mempunyai kuasa langsung dalam menguruskan hasil produk terutama di luar bandar serta menembusi perangkap kartel yang selama ini menyebabkan petani tidak mendapat hasil setara dengan keuntungan,” katanya ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pelan pemulihan itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan bagi menangani dampak Covid-19.

Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pakej tersebut ialah RM55.85 bilion.

Amirudin berkata Seldec menggabungkan agensi pembangunan usahawan seperti Koperasi Warga Hijrah Selangor bagi mengurangkan jurang capaian peniaga luar bandar terhadap ekosistem pasaran dalam talian.

Seldec yang diterajui oleh Selangor Industrial Corporation (SIC) dilancarkan pada 24 Jun lalu menyasarkan 7,800 peluang kerja pelbagai sektor dalam tempoh lima tahun.

Landasan perniagaan itu kini memiliki 395 peniaga dan menerima sambutan menggalakkan terutama belia yang hilang pekerjaan dengan sasaran sekurang-kurangnya 1,000 orang berdaftar dalam tempoh tiga tahun.


Pengarang :