Penumpang menyaksikan pesawat Malaysia Airlines mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 27 Julai 2014. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sempadan dibuka semula, Malaysia Airports sedia kendali tambahan penumpang

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia mengendalikan peningkatan jumlah penumpang susulan kebenaran perjalanan antara koridor selamat atau ‘travel bubble’ apabila kerajaan bersetuju membuka semula sempadan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Beliau berkata pengendali lapangan terbang itu tidak menghentikan operasinya sepanjang pandemik Covid-19 dan melaksanakan langkah pencegahan tambahan untuk memastikan keselamatan penumpang, termasuk meletakkan mesin pengimbas suhu badan di lapangan terbang, mewajibkan penggunaan pelitup separuh muka serta mengehadkan tempat masuk dan keluar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami masih beroperasi. Hanya jumlah penerbangan yang dikurangkan hingga di bawah 5.0 peratus. Walaupun semasa puncak wabak ini, kami masih mengendalikan kira-kira 5,000 hingga 10,000 penumpang sehari melalui KLIA dengan beberapa penerbangan untuk membawa pulang rakyat kita dari seluruh dunia.

“Kami mengendalikan (pergerakan penumpang), cuma sekarang ini adalah bagaimana untuk mengurangkan kesesakan pada masa depan. (Apa) yang perlu kami pastikan ialah kami sudah sedia sepenuhnya bagi keputusan ujian Covid-19,” katanya semasa taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan MAHB di sini semalam.

Mohd Shukrie berkata ujian biasanya mengambil masa beberapa jam untuk siap, yang boleh mempengaruhi kelancaran keseluruhan pergerakan penumpang di lapangan terbang.

Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan ‘travel bubble’ dengan enam negara iaitu Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Keputusan itu, bagaimanapun, belum dimuktamadkan lagi memandangkan persetujuan bersama mengenai tatacara operasi piawai (SOP) dengan negara-negara tersebut masih dalam perbincangan.

-BERNAMA


Pengarang :