Sekolah agama kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memulakan sesinya esok, 15 dan 22 Julai depan.
PENDIDIKAN SELANGOR

Sesi persekolahan agama di Selangor mulai esok

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan di lima jenis sekolah agama peringkat rendah dan menengah bermula esok, 15 dan 22 Julai depan.

Merujuk hantaran Facebook jabatan itu, pembukaan sesi itu esok membabitkan pelajar tahun lima dan enam sekolah rendah agama (SRA), sekolah rendah agama integrasi (SRAI), kafa integrasi (Kafai) serta sekolah tahfiz dan pondok persendirian.

Bagi sekolah persendirian atau swasta (SRI, SRII, SMI, pusat tuisyen) pembelajarannya turut bermula esok melibatkan pelajar tahun lima dan enam serta pelajar tingkatan satu hingga empat bersama tingkatan empat maahad integrasi tahfiz Selangor (MITS).

Pada 22 Julai pula, persekolahan membabitkan pelajar tahun satu hingga empat SRA, SRAI, Kafai dan SRI, SRII, SMI, pusat tuisyen. Ia termasuk pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah swasta terbabit.

Pelajar tingkatan satu hingga tiga MITS pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 Ogos 2020.

Tarikh pembukaan semula sesi persekolahan sekolah agama negeri di Selangor. Grafik: Jabatan Agama Islam Selangor

Pengarang :