Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunjukkan surat watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah yang ditandatangani oleh TYT Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai 2020. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Shafie: YDP negeri perkenan bubar DUN Sabah

KOTA KINABALU, 30 JULAI: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mohd Shafie membuat pengumuman berkenaan pada sidang media khas di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Terdahulu, Mohd Shafie mengadap Tun Juhar di Istana Negeri di sini dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 8.25 pagi.

Mohd Shafie berkata beliau memohon perkenan daripada Tun Juhar untuk membubarkan DUN dan Tuan Yang Dipertua memperakukannya.

“Saya masih menjalankan tugas-tugas sebagai Ketua Menteri dalam tempoh pembubaran tersebut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli parlimen blok kerajaan.

Beliau berkata rakyat Sabah yang menentukan kerajaan Sabah, bukan pihak lain.

Perkembangan politik di negeri ini menjadi hangat apabila bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman semalam mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Sabah.

Ketika ini, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi dengan blok kerajaan menguasai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.

-BERNAMA

 


Pengarang :