Ir Abas Abdullah menunjukkan senarai kawasan yang mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Shah Alam, Klang dan Gombak antara kawasan terawal terima air

SHAH ALAM, 14 JULAI: Shah Alam serta sebahagian wilayah Klang dan Gombak dijangka menerima bekalan air lebih awal berbanding tempat lain, kata pengarah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abas Abdullah berkata baki daripada 290 kawasan lain terjejas akan menerima bekalan sama secara berperingkat sehingga Jumaat ini.

“Sepanjang tempoh gangguan ini, 93 lori tangki membawa bekalan air bersih akan digerakkan namun hari ini hanya dihantar ke 82 premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

“Air Selangor turut menempatkan 82 tangki statik di sekolah sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan bermula esok. Ini bagi memastikan aktiviti harian sekolah dapat diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Abas, pihaknya turut menyediakan poster ingatan kepada orang awam bagi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka ketika mengambil air.

Bermula hari ini hingga Jumaat, kawasan di wilayah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal di Loji LRA SSP3 mulai jam 9 pagi ini.

Kerja bertujuan membolehkan loji beroperasi lebih cekap dan memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.


Pengarang :