Pelumba PETRONAS Sprint Yamaha Maju, Motor Ahmad Afif Amran (kiri) dan Md Akid Aziz ketika beraksi pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Litar Sementara Dataran Seri Jempol pada 17 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SIC lega sudah dibenar anjur aktiviti permotoran

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Keputusan kerajaan membenarkan penganjuran perlumbaan motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula 15 Julai ini bakal merancakkan semula industri sukan permotoran negara yang sebelum ini terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata keputusan tersebut memberi peluang kepada SIC menganjurkan beberapa kejohanan yang terpaksa ditunda sebelum ini akibat pandemik berkenaan.

Antara kejohanan berkenaan adalah Kejohanan Superbike Malaysia, Siri Kejuaraan Perlumbaan Malaysia, perlumbaan lasak Sepang 1,000km serta Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.

“Bagi status penganjuran kejohanan antarabangsa seperti Kejuaraan MotoGP Dunia, kami akan berikan maklumat terbaharu pada penghujung bulan ini.

“Fokus kami ketika ini adalah untuk memastikan kejohanan (permotoran) tempatan berjalan lancar, dan kesemua yang terlibat mengikuti tatacara operasi piawai yang telah ditetapkan (pihak berkuasa),” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam, mengumumkan bahawa kerajaan memberi lampu hijau bagi penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton bagi sukan tiada bersentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu bermula 15 Julai ini.

Kebenaran itu meliputi perlumbaan permotoran di Litar SIC dan litar-litar lain, kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.

– BERNAMA


Pengarang :