Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENSISELANGOR

Sindiket proses minuman keras palsu tumpas

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar minuman keras dipercayai tiruan dan menahan empat lelaki dalam satu serbuan di Puchong dekat sini, kelmarin.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek yang ditahan berumur antara 30 hingga 40 tahun dan dua daripada mereka merupakan warga Myanmar.

“Dalam serbuan itu, 87 kotak minuman keras pelbagai jenama, enam tong dram 200 liter dan empat tong air 100 liter yang berisi cecair berwarna gelap dipercayai alkohol berjaya dirampas.

“Nilai alkohol yang dirampas berjumlah RM222,000…mereka ini juga menjadikan Lembah Klang sebagai lokasi pengedaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Acryl Sani berkata polis turut merampas dua kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Vellfire dan Nissan Serena dipercayai digunakan untuk mengedar barang berkenaan.

“Kesemua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Membaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :