Sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran menjadikan warga asing yang hidup susah di negara mereka sebagai mangsa. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sistem imigresen terjejas 4,489 kali, 214,398 pendatang tiada rekod keluar

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia bagi tempoh 2016 hingga 2018, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut laporan itu, ini berikutan Sistem MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) tidak dapat mengesahkan pergerakan mereka kerana berlaku masalah gangguan sistem sebanyak 4,489 kali bagi tempoh tiga tahun itu.

“Pada pendapat Audit, sistem MyIMMs yang kerap downtime (masa rosak) dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar/masuk di pintu sempadan negara,” menurut laporan itu.

“Jabatan Imigresen menyatakan setakat 15 April 2020, daripada jumlah 214,398 warga asing berkenaan, seramai 5,750 orang telah disahkan keluar dan 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

“Selain itu, seramai 1,765 orang telah diambil tindakan oleh unit penguatkuasaan manakala bagi baki selebihnya seramai 198,479 warga asing tiada rekod keluar,” katanya.

Laporan itu berkata terdapat 29 patch on sistem lain yang berurusan dengan sistem MyIMMs menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.

Berikutan ketidakstabilan itu, terdapat data yang telah dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar/masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau tidak dapat diintegrasikan dengan sistem MyIMMs.

“Selain itu, sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat tersebut tidak melakukan pergerakan keluar/masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan),” menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu, Jabatan Imigresen telah melaksanakan langkah penambahbaikan bermula Mac tahun ini, membolehkan proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

“Daripada 214,398 warga asing berkenaan, pihak Audit telah memilih 300 warga asing sebagai sampel.

“Berdasarkan sampel itu, selain daripada tiada rekod keluar, pihak Audit turut mendapati warga asing berkenaan telah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan iaitu dari 121 hingga 1,087 hari,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :