Jemaah yang mendapat kebenaran khas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang mendengar khutbah pada 19 Jun 2020. Foto Ihsan Masjid Jamek Ar Rahimiah
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Solat Aidiladha secara terbuka, bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid

SHAH ALAM, 29 JULAI: Solat sunat Aidiladha di semua masjid dan surau di negeri ini dilaksanakan dengan kehadiran umat Islam secara terbuka iaitu siapa cepat dia dapat, mengikut jumlah kapasiti sesuatu rumah ibadat.

Uni Korporat Jabatan Agama Islan Selangor memaklumkan perkara itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan jemaah boleh memenuhkan ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dilakukan.

Bagaimanapun ia dikecualikan bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang menggunakan sistem e-Pass.

“Sementara jemaah wanita hanya dibenarkan solat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan hanya 220 orang manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula 250 sahaja.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid dan surau di Selangor adalah pada jam 8 pagi,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ibadah korban pula hanya akan dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid daerah, masjid DiRaja, masjid naik taraf, masjid institusi dan masjid kariah atau tempat ditentukan pihak masjid.

“Oleh itu, diingatkan sekali lagi supaya jemaah dan ahli jawatankuasa masjid serta surau untuk sentiasa mematuhi langkah pencegahan dan garis panduan ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ketetapan ini seharusnya diambil berat bagi memastikan kelangsungan peranan institusi masjid dan surau dapat diteruskan serta berjalan lancar ke arah pembinaan kesatuan juga kekuatan umat Islam,” katanya.

Antara nasihat buat jemaah:

1. Berwuduk dari rumah
2. Pakai pelitup muka
3. Bawa sejadah sendiri
4. Sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 Celcius dilarang hadir)
5. Guna pembasmi kuman
6. Tidak berjabat tangan di kalangan jemaah
7. Hadir lebih awal ke masjid atau surau
8. Patuh penjarakkan sosial


Pengarang :