AGENDANASIONAL

SPR: PRK DUN Slim 29 Ogos, penamaan 15 Ogos

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga 11.59 malam 28 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai urusan PRK itu, di sini hari ini.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket KEADILAN, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.

Sebelas PRK yang diadakan sebelum ini ialah di DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai, Parlimen Kimanis dan DUN Chini.

Azmi berkata Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lepas akan digunakan bagi PRK DUN Slim dan akan mula dijual pada 5 Ogos.

Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 23,094 pengundi yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih mulai 5 Ogos untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menghubungi talian 03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Azmi berkata bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan mula dibuka hari ini dan ditutup pada 13 Ogos.

Pegawai Daerah Muallim Shamsul Ridzuan Idris dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Slim dan beliau akan dibantu oleh empat orang penolong pegawai pengurus, katanya.

Azmi berkata SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi,” katanya.

Azmi berkata seramai 689 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Slim manakala sebanyak 13 pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6 juta,” katanya.

Menurut Azmi, seramai 391 pengundi kurang upaya dikenal pasti bagi PRK itu yang akan mengundi di saluran satu dan 10 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai dalam satu saluran.

Azmi berkata satu garis panduan pencegahan Covid-19 yang ditambah baik selepas PRK DUN Chini akan dikuatkuasakan bagi memastikan setiap proses dalam urusan pilihan raya tersebut selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran pandemik Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan atau individu berkelayakan berminat menjadi pemerhati dalam proses PRK dari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya.

Permohonan menjadi pemerhati boleh dikemukakan kepada SPR mulai hari ini hingga 29 Julai melalui emel [email protected]. , katanya.

-BERNAMA


Pengarang :