Skuad ragbi wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun hadapan ketika ditemui di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Sukma Johor: Ragbi wanita sasar ke pentas akhir

SHAH ALAM, 12 JULAI: Pasukan ragbi tujuh sebelah wanita Selangor akan menyertai beberapa pertandingan bagi memantapkan corak permainan sebagai persediaan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun hadapan.

Jurutlatihnya, Mohammad Faiz Samsu Khidir berkata keutamaan kini mengembalikan kecergasan pemain selepas penangguhan latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membentuk pasukan mantap dengan sasaran ke perlawanan akhir.

“Kita sudah mulakan sesi latihan di Padang Utara, Petaling Jaya dengan tumpuan menguatkan fizikal dan kemahiran pemain.

“Pasukan kita masih baharu kerana kebanyakan pemain tidak mempunyai asas mengenai ragbi tetapi dengan penyertaan beberapa kejohanan selepas aktiviti sukan secara bersentuhan dibenarkan, Insya-Allah kita boleh bersiap dengan lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Jurulatih ragbi wanita Sukma Selangor, Mohammad Faiz Samsu Khidir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata pemain tetap menjalani latihan ketika PKP mengikut modul diberikan dengan berkongsi video setiap hari.

Mohammad Faiz menjelaskan acara ragbi tujuh sebelah wanita mula diperkenalkan ketika Sukma Perak 2018 dan Selangor mengutip pingat perak apabila tewas kepada Sabah di perlawanan akhir.

Katanya, kekalahan itu memberikan pengajaran berguna dan pasukan akan berusaha ke peringkat akhir sekali lagi di Johor tahun hadapan.


Pengarang :