Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan bimbang rakyat abai SOP, cetus gelombang kedua Covid-19

SHAH ALAM, 8 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kebimbangan berikutan ramai rakyat di negeri ini mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Menurut kenyataan Istana Alam Shah hari ini, baginda mendapati kebanyakan masyarakat tidak mengenakan pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial ketika berada di tempat awam.

“Baginda sangat bimbang sekiranya ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma baharu, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi serta kehidupan seharian.

“Justeru, baginda menyeru semua rakyat terus mengamalkan disiplin tinggi serta tidak keluar ke tempat awam jika sakit,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru rakyat menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan khususnya di hospital serta tidak menambah bebanan mereka.

“Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana berisiko tinggi mendapat jangkitan yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, baginda berharap rakyat berusaha sebaik mungkin mematuhi SOP kerana ini sahaja cara yang terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini,” titah baginda lagi.


Pengarang :