Projek Gerbang Maritim Selangor memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan. Foto ARKIB SELANGORKINI
SELANGOR

Sungai Klang bakal jadi tumpuan pelancong

SHAH ALAM, 9 JULAI: Tidak mustahil Sungai Klang menjadi lokasi tarikan pelancong sekiranya ia semakin bersih menerusi Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Peniaga, Jamal Syed Mohamed berkata kedainya yang terletak di tepi Sungai Klang menjadi tumpuan pengunjung sejak tiga tahun lalu kerana udara semakin bersih dan nyaman.

“Saya sudah berniaga di tepi sungai sejak 30 tahun lalu, disebabkan sungai semakin bersih, udara pun makin segar, orang semakin ramai datang,” katanya menerusi siaran video ‘Unity in Keeping the Klang River Alive’ oleh SMG, hari ini.

Sementara itu, Ravikumar berkata penduduk Klang sepatutnya berbangga dengan usaha Kerajaan Negeri membersihkan Sungai Klang menerusi Projek SMG.

“Sebelum ini ada penduduk yang sesuka hati membuang sampah ke dalam sungai, tetapi sekarang tidak lagi kerana Sungai Klang sudah semakin cantik.

“Apabila sungai sudah bersih, saya lihat lebih ramai keluarga yang bawa anak-anak berjalan dekat dengan kawasan sungai,” ujar kakitangan awam itu.

Seorang pesara, Ismail Ali pula berkata usaha kerajaan boleh gagal sekiranya rakyat teruskan tabiat membuang sampah ke dalam sungai.

“Kerajaan sudah buat macam-macam untuk bersihkan Sungai Klang, keluar belanja berjuta-juta, jika sikap tidak ubah, projek juga akan gagal.

“Sekiranya ia berjaya, saya yakin kerja pembersihan sungai ini akan mewujudkan aktiviti pelancongan lebih menarik,” katanya.

Tahun lalu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd, Syaiful Azmen Nordin berkata taman awam Pengkalan Batu dan hutan paya bakau di muara Sungai Klang adalah dua produk eko-pelancongan yang bakal beroperasi di Klang menjelang 2022.

Projek pembangunan di bawah SMG kini di peringkat permulaan dan bakal menawarkan teksi air sebagai pengangkutan penghubung ke destinasi tersebut.

Projek SMG adalah inisiatif Kerajaan Selangor yang memfokuskan kepada penjanaan semula Sungai Klang membabitkan kawasan seluas 35,612 hektar.

Sementara itu, Landasan Lumayan Sdn Bhd pula adalah anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor yang bertanggungjawab melaksanakan tiga aktiviti utama projek iaitu pembersihan, pemuliharaan dan pembangunan.


Pengarang :