Keadaan premis yang kotor ketika pemeriksaan Unit Penguatkuasaan Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ. Foto MBPJ
PBTSELANGOR

Tak patuh SOP, MBPJ arah tujuh premis ditutup

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengarahkan tujuh premis ditutup kerana tidak mematuhi syarat kesihatan dan pelesenan.

Penolong pengarah komunikasi korporatnya berkata kesalahan itu termasuk tidak mendapatkan suntikan imunisasi typhoid, gagal melaksanakan kawalan serangga dan binatang perosak, premis tidak diselenggara dengan baik serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Sebanyak sembilan premis diperiksa dan daripada jumlah itu tujuh diarahkan tutup serta 23 kompaun turut dikeluarkan,” kata Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah operasi pemantauan dan pemeriksaan tersebut dijalankan Unit Penguatkuasaan Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ pada 14 Julai lalu.

Ahmad Iskandar juga menasihati pemilik premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara seperti jarak antara meja, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan serta mendaftar di aplikasi Selangkah atau manual sebelum masuk ke premis.


Pengarang :