Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin bersama ahli majlis MPK pada Majlis Pelancaran Aplikasi SmartBooking di Dewan Hamzah pada 29 Julai 2020. FOTO ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tempah dewan, kemudahan riadah dalam talian

KLANG, 31 JULAI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) kelmarin melancar aplikasi SmartBooking bagi urusan tempahan dewan dan kemudahan riadah secara dalam talian.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata orang ramai boleh berurusan pada bila-bila masa tanpa hadir ke kaunter pihak berkuasa tempatan itu.

“Tempahan dalam talian meliputi majlis perkahwinan, seminar, sukan dan program yang secara tidak langsung mengurang kesesakan di pejabat MPK, sekali gus mengelak risiko penularan Covid-19,” katanya selepas melancarkan aplikasi berkenaan di Dewan Hamzah di sini.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menyemak tarikh, masa, lokasi dan kadar sewa melalui aplikasi tersebut dan resit bayaran dihantar secara elektronik selepas tempahan dibuat.

SmartBooking dibangunkan Februari lalu hasil inovasi Jabatan Khidmat Pengurusan, Unit Pembangunan Sistem, Jabatan Kewangan serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.

Aplikasi yang diaktifkan mulai 6 Ogos boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apps Store.

Tahun lalu, MPK mengutip sebanyak RM755,085.60 bagi sewaan dewan dan kemudahan riadah.

 


Pengarang :